small logo

Untuk kelaman utama Era Akhir, klik ikon diatas.


 

Umno kembali kukuh
Ucapan penggulungan Dr Mahathir Mohamad pada Perhimpunan Agung Umno semalam

 

SAYA gembira dengan penyertaan yang besar daripada ahli Umno dan pemerhati. Saya berpendapat bahawa kehadiran dalam mesyuarat agung pada tahun ini jauh lebih besar daripada yang biasa.

Walaupun pada tahun ini tidak ada pemilihan, biasanya yang ramai hadir ialah ketika kita mengadakan pemilihan, tetapi kali ini bila tak ada pemilihan. Jumlah yang hadir ramai dan mereka bukan saja terdapat dalam dewan, di luar dewan di tingkat pertama, yang bawah semuanya penuh sesak dengan ahli-ahli Umno.

Yang menarik ialah kehadiran golongan muda terutama ahli Puteri yang mungkin sudah menjadi ahli atau pun yang belum menyertai. Sebab itu kita lihat selain daripada baju merah Wanita terdapat pula baju ros Puteri, mewarnakan perhimpunan kita. Barangkali ini juga akan digunakan oleh Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan untuk program Warna-warni Malaysia.

Pada masa yang sama kita juga dapati golongan tua ramai juga yang hadir terdiri daripada orang tua, yang berumur, termasuk orang perempuan dan lelaki yang berumur.

Pada tahun 1999 pada waktu kita adakan pilihan raya, ramai juga wanita yang berumur yang telah memisahkan diri daripada Umno kerana kononnya mereka sudah tua dan ingin tentukan di mana mereka akan ditempatkan. Dengan itu mereka telah beri sokongan kepada parti lain, tetapi hari ini nampak golongan ini juga turut excited dan semangat dan mereka juga ingin bersalam.

Ini bermakna bahawa golongan muda dan tua sudah kembali bersemangat dan sudah sedar akan perjuangan ini dan berapa pentingnya menyertai perjuangan ini. Pada masa yang sama kita juga melihat jumlah peniaga yang menjual barangan semasa mesyuarat agung ini sudah bertambah.

Mereka bukan saja memenuhi tempat yang dikhaskan bagi mereka, tetapi kita lihat mereka sudah melimpah ke tempat lain sehingga di belakang ini ada mereka yang jual beraneka jenis barang termasuk Wanita yang ada kawasan khas bagi mereka.

Saya sempat juga pergi melawat, tapi masalah saya bila nak beli orang nak bagi free. Kadang-kadang saya jalan dulu dan selepas itu beritahu security beli mereka dapat tahu.

Dalam dewan ini jelas sekali jumlah yang hadir besar, saya ingat sehingga ke tingkat teratas sekali juga terdapat pemerhati. Pada hari ini, kita melihat seperti juga hari pertama kita melihat kumpulan koir kita yang berbaju kuning dan kelabu. Tetapi semasa mereka tidak berada di tingkat itu, tempat mereka dipenuhi oleh pemerhati-pemerhati. Ini juga menunjukkan betapa ramai kehadiran dalam mesyuarat agung 2002. Satu perkara yang menarik yang dilihat daripada pemerhati ialah warna kopiah.

Kita tengok ada satu parti apabila dia ada muktamar kita nampak putih di belakang tetapi kita punya perhimpunan ini warna kopiah ialah hitam dan ini tidak bermakna kita kurang Islam kerana kopiah putih hanya pakaian saja. Pegangan kepada amalan agama belum tentu kerana kopiah putih.

Yang merogol dan melakukan sumbang mahram bila ke mahkamah pakai kopiah putih juga. Jadi janganlah kita terpengaruh dengan kopiah putih, jubah dan janggut dan sebagainya sebagai bukti mereka berpegang kepada agama. Benggali Singh pun pakai serban juga dan ada janggut yang lebih hebat daripada mereka.

Saya sebut perkara-perkara ini kerana ternampak jelas pada tahun ini semangat Umno sudah dipulih. Dipulih dengan kuatnya. Kita sudah mengadakan barisan pelapis daripada pemuda dan juga Puteri. Mereka yang akan mengganti kita supaya Umno dan perjuangannya akan dapat kita teruskan. Kita khuatir kalau-kalau ahli Umno membawa Umno bersama mereka apabila mereka jadi tua apabila meninggal.

Tetapi sekarang ini kita yakin walaupun golongan tua ini terpaksa memisah diri daripada Umno dan terpaksalah akhirnya kembali ke rahmatullah Umno dapat diteruskan juga dan perjuangan Umno yang tak selesai dapat diteruskan juga supaya orang Melayu akan menjadi satu bangsa yang berdiri sama tinggi, duduk sama rendah, yang bermaruah dapat kekalkan kemerdekaan negara mereka sehingga selama-selamanya.

Itulah harapan kita apabila lihat begitu ramai yang menghadiri mesyuarat agung tahunan ini. Saya juga nak ucap terima kasih kepada semua yang berucap dan menyatakan sokongan kepada diri saya sendiri.

Sepatutnya sokongan itu dinyatakan kepada parti kita. Namun demikian saya rasa terharu dengan sebutan-sebutan dan kata-kata manis terhadap diri saya.

Saya juga terima kasih kepada Pak Lah terutamanya kerana menjadikan saya sebagai contoh.

Sama ada kami layak jadi ketua atau tidak tak tahulah. Tetapi berasa sedap juga bila dengar saya jadi contoh. Yalah saya ini satu isteri. Jumpa yang itu saja. Sekarang ini susah sikit, bila kita pergi universiti sekarang ini penuntut wanita lebih ramai daripada lelaki, jadi penuntut lelaki ada banyak pilihan.

Semasa saya di universiti ada satu itu saja. No choice, tetapi alhamdulillah walaupun tak ada choice tahan lama juga sampai sekarang ini. Cuma saya nak betulkan Pak Lah, saya ada tujuh anak, bukan enam dan sekarang ini saya ada 15 cucu, dua daripadanya dilahirkan pada satu hari dari 13 naik ke 15 cuma dalam masa empat jam saja.

Berkenaan beberapa pihak yang kata saya tak perlu minta maaf kerana apa yang saya katakan. Tetapi ini budaya kita, budaya orang Melayu. Kita selalu minta jalan tak seperti orang lain. Tunduk sikit berjalan rendah supaya melindung kaki kerana anggap kaki rendah dan tak harus tunjuk sama dengan orang lain. Tetapi saya minta maaf secara ikhlas dan saya harap tak ada siapa saya memikir bahawa tujuan saya adalah untuk meraih simpati.

Saya juga ucap terima kasih kepada semua pihak yang telah memberi pandangan mereka kepada saya secara peribadi. Saya ingin sebut sikit berkenaan nama parti kita. Nama parti kita ini sebenarnya PERKEMBAR (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu) tetapi kita lebih rela dan suka nama Umno. Ia baik kerana ia berkaitan dengan iman. Kita baca dalam Al-Quran... “wahai orang-orang yang beriman”. Inilah. Yang tak beriman ada di mana? Tak payah saya sebut. Nama dia Pas (Parti Islam Semalaysia) saya tak tahulah nama Islam ini kerana dia melencong daripada agama.

Dia bukan parti Islam, parti Aslam. Pas, Pas. Kalau dia suka P I S pula ... aah. Benda tu kita tak tahulah, barangkali dia biasa mencarut dia tahulah apa dia.

Tahun ini kita beri penghargaan yang sewajarnya kepada wanita. Bukan kerana kita nak jadi orang putih. Dalam budaya orang putih, dia kalau nak buat ucapan dia kata ladies and gentleman. Tetapi apabila kita buat ucapan kita kata, tuan-tuan dan puan-puan. Jadi Tuan dulu baru puan. Jadi kita tak gugurlah semua sekali tinggal lagi apabila kita sebut nama jawatan-jawatan dalam Umno kita beri penghargaan kepada wanita kerana dia lebih awal, jumlahnya lebih besar dan kita tahu wanita memainkan peranan amat besar dalam menjayakan parti kita terutama pada waktu pilihan raya.

Mereka mesti tebal muka untuk menjayakan tugas mereka kerana mereka perlu pergi dari rumah ke rumah. Kadang-kadang pergi ke rumah orang Pas yang tak suka melihat mereka. Namun mereka pergi juga untuk merayu undi, untuk berkenalan.

Saya percaya kalau kita ingin tawan hati orang dengan mengasingkan orang itu daripada kita tak mungkin kita boleh menawan hati orang itu. Tetapi jika kita mendekati diri kita orang itu kemungkinan orang yang tidak bersetuju dengan kita juga akan lebih menghargai dan mungkin sebilangan mereka akan terima hujah-hujah kita dan menyokong. Sebab itu peranan wanita baik dan berkesan.

Ucapan yang dibuat oleh wakil wanita menimbulkan soal sekarang ini kita mempunyai puteri. Setelah kita tentukan peranan wanita sebagai perayu undi, sebagai ketua kumpulan 10 dan sebagainya, apakah peranan puteri, memandang puteri terdiri daripada golongan lebih muda dan ramai daripada mereka sekarang lulusan daripada universiti, bukan wanita tidak lulus daripada universiti, banyak yang lulus tetapi kerana kita tahu pada zaman sekarang ini golongan muda amat senang sekali dengan teknologi maklumat (IT), sebab itu puteri akan diberi tugas, kerja-kerja yang membabitkan penggunaan komputer dalam parti kita.

Mereka yang akan memasukkan data dalam komputer mereka yang akan buat analisis, merekalah yang akan memberi maklumat kepada kita, kepada bahagian, kepada pengundi semasa pilihan raya, saya rasa ini amat sesuai dengan puteri kerana ramai daripada mereka terpelajar dalam bidang ini. Saya harap puteri dapat menerima tugas ini dengan baik.

Masa bercakap ini saya ingat tentang apa yang dikatakan oleh Ibrahim Ali daripada Kelantan. Dia marah sangat kenapa kalau isteri atau wanita diberi satu-satu jawatan yang tinggi suami tidak boleh bersama dengan dia, katanya, sementara si isteri berada di atas, suami ada di bawah, ini adalah satu peraturan yang tidak kena, tetapi kadang-kadang kena juga. (Hadirin ketawa).

Orang Umno ini, lain kita kata, lain dia punya fikir, inilah sebabnya tulang dia terlepas ke depan. Saya cuma nak kata, bahawa saya ada di sini, di atas pentas ini sedangkan isteri saya ada di atas, sepatutnya saya naik di ataslah, baru sama.

Berkenaan dengan perbahasan-perbahasan yang diadakan pada hari ini, hampir semua, boleh kata semua, jurucakap menyuarakan sokongan mereka kepada ketiga-tiga usul yang diperuntukkan, pindaan kepada perlembagaan, pendidikan dan juga agama dan sosial.

Saya sedar bahawa bagi jurucakap untuk menyokong parti dan menyokong kerajaan agak berat, tak seronok nak cakap, bila kita boleh hentam, masa itu yang seronok sekali, nak sokong, payah nak hentam tapi kalau kita pandai-pandai, boleh juga hentam.

Kita tengok wakil umpamanya, yang membawa usul agama dari Kedah, sedap juga, dari Pulau Pinang, biasanya dari Pulau Pinang ini, jurucakap tak berapa pandai, melainkan ketuanya sajalah, tapi pagi tadi bukan main, dia punya cerita berkenaan fox dengan rabbit, seronok juga.

Jadi, bagi mereka yang pintar, termasuklah kawan saya Badaruddin, tidak kira apa tajuk, sama ada perlu sokong ataupun tidak, macam-macam cerita boleh dibuat, dalam kita gelak ketawa dengan dia punya cerita lucu, dia hentam kita, cukup cekap, dia juga kata takkanlah semua yang ada di atas ini nak menganiaya orang Melayu, tapi dia tambah sikit, melainkan satu dua, siapa makan cili, orang tu rasa pedas.

Pendidikan menjadi satu isu yang amat menarik pada tahun ini sebabnya ialah oleh kerana kerajaan memperkenalkan beberapa pendekatan baru yang luar biasa yang pertamanya, berkenaan meritokrasi. Pemilihan kemasukan ke universiti berasaskan kelulusan yang baik dan bukan kepada kuota.

Sebenarnya apabila kita umumkan meritokrasi ini, kita percaya bahawa bilangan penuntut Melayu yang akan diterima oleh universiti akan berkurangan daripada 55 peratus sebagaimana yang ditetapkan tetapi entah bagaimana, kita dapati melalui meritokrasi, jumlah yang diterima lebih daripada 55 peratus.

Ia meningkat kepada 69 peratus, satu peratusan yang sangat tinggi. Ini bermakna bahawa selepas beberapa tahun kita mengamalkan sistem kuota, maka ramailah penuntut Melayu yang layak tidak dapat diterima masuk universiti kerana kuota sudah diberi .

Dengan itu, yang rugi ialah kita, tahun ini kita lihat dengan menggunakan meritokrasi, jumlah peratusan kita sudah meningkat tetapi kita tidak boleh mengalah, kita tidak boleh berasa senang hati dan complacent kerana pada tahun depan juga angka yang serupa akan dicapai.

Kalau tak ada usaha sungguh-sungguh untuk mengejar ilmu, untuk mendapat kelulusan cemerlang, kemungkinan tahun depan, peratusan Melayu ke universiti akan berkurangan. Walaupun kita lihat tahun ini ia bertambah tetapi pertambahan itu disebabkan oleh kita menggunakan sukatan tertentu. Kalau kita menggunakan keputusan peperiksaan yang lain, mungkin ramai daripada kaum lain akan diterima masuk ke universiti sebab itu kita harap kita tidak lepas tangan dan percaya bahawa kita sudah pandai dan tidak perlu berusaha lagi.

Alhamdulillah oleh kerana jumlah peratusan Melayu yang masuk universiti tahun ini lebih tinggi daripada tahun lalu dan perkara ini tidak menjadi masalah dan tidak menjadi bahan cemuhan terhadap kerajaan tetapi kita juga perkenalkan dua lagi perkara yang tidak di senang hati, iaitu membenar 10 peratus daripada bukan bumiputera mengikuti kursus matrikulasi dan membenar 10 peratus masuk ke Maktab Rendah Sains Mara.

Ada yang berpendapat bahawa matrikulasi adalah hak istimewa kita, sekolah rendah sains mara adalah hak istimewa kita, kita mengadakan peruntukan atau kemudahan itu untuk membantu kita tetapi kita harus ingat bahawa orang yang selalu dibantu akan menjadi lemah.

Kalau kita tidak pernah berjalan tanpa tongkat, kita tak boleh berjalan apabila tongkat diambil daripada kita, sebab itu kita harus belajar berjalan, sedikit-sedikit tanpa tongkat, itulah tujuan kita dan saya berterima kasih kerana pendekatan ini telah diterima oleh Umno dan ini akan kita laksanakan dengan tidak membelakangkan kepentingan orang Melayu dan anak-anak kita.

Umno tidak sekali-kali menganiayakan orang Melayu dan kaum bangsa, berkenaan dengan penggunaan bahasa Inggeris , saya sedar bahawa ia akan membawa banyak masalah, bukan mudah memperkenalkan bahasa Inggeris dalam satu tahun untuk semua darjah dan di sekolah tetapi kita akan cuba dengan pendekatan yang baru. Kita sedar bahawa jumlah guru kita tidak mencukupi, tak ramai guru boleh mengajar bahasa Inggeris tetapi kita ingin menggunakan guru bukan sebagai guru tetapi sebagai fasilitator, orang yang memudahkan proses.

Kita akan sediakan kursus ataupun course ware dengan menggunakan pendekatan baru iaitu semua pelajaran akan disampaikan melalui komputer dan segala perkataan kalau diadakan satu ayat ataupun satu sentence yang ditulis dalam Bahasa Inggeris, ditulis di atas papan hitam tetapi kita tak akan guna papan hitam sebaliknya kita akan projek seperti kita projek dalam skrin di sini.

Semua ayat-ayat akan ditulis dalam bahasa Inggeris. Lepas itu kita akan dengar bagaimana ayat itu dibaca dan lepas itu murid akan cuba menyebut perkataan perkataan ini dan jika sebutannya tidak kena, kita boleh dengar sekali lagi dan sekali lagi dalam bahasa yang digunakan oleh orang-orang yang pakar dalam bahasa ini.

Kalau soalan dibuat dan murid membuat jawapan, kemudian daripada itu kita boleh tentukan sama ada jawapan itu betul ataupun tidak dengan merujuk ke dalam komputer kita jawapan yang betul dan bagaimana kita menyebut jawapan itu dan kalau murid ingin bertanya dan guru ingin bertanya sesuatu soalan maka komputer itu juga boleh menjawab soalan itu dengan tertulis dan juga dengan menyebut soalan itu dengan bahasa yang betul.

Dengan cara ini kita boleh ulang belajar sesuatu perkataan, setiap satu sentence berkali-kali bahkan kita boleh, jika kita mempunyai komputer, kita boleh guna CD Rom untuk belajar, belajar bahasa ini.

Dengan pendekatan ini, kita percaya guru yang tidak pandai dalam Bahasa Inggeris boleh juga menolong murid belajar bahasa Inggeris. Pada masa yang sama, guru juga akan dapat belajar bahasa Inggeris. Inilah pendekatan yang kita akan cuba, sudah tentu akan ada masalah, akan ada apa yang mat salleh kata glitches.

Tetapi menjadi tugas kita untuk mengatasi masalah. Inilah pendekatan kita. Kita kalau nak tunggu nak buat sesuatu secara proses biasa, mungkin tidak berjaya, mungkin kita ambil masa yang lambat, di masa yang sama orang lain sudah pergi jauh ke depan, sebab itu kita tidak boleh lengah-lengah, kita mesti buat lebih pantas daripada biasa.

Untuk membuat kereta, motokar, orang Barat mula pada 1890, untuk sampai ke tahap ini, mereka sudah belajar bagaimana membuat motokar lebih daripada 100 tahun tetapi kita bermula pada tahun 1985, mengambil masa hanya tiga tahun untuk mengeluarkan Proton Saga. Kalau kita nak ikut proses biasa, kita akan keluarkan Proton Saga pada 2085. Sanggupkah semua yang dalam ini tunggu tahun 2085, baru nak dapat Proton, kita kata mat salleh, kita lompat katak, cara inilah yang selalu dilakukan oleh kita, kita selalu mempercepatkan proses dan apabila kita cepatkan proses, tentulah ada masalah dan terpulang pada kita untuk kita mencari jawapan kepada masalah ini bagaimana kita boleh mengatasi masalah ini dan kita telah buktikan kepada dunia, bahawa kita berkemampuan, menghadapi dan mengatasi banyak masalah di negara berbilang kaum, sebenarnya kalau kita lihat di seluruh dunia, tidak ada satu negara yang berbilang kaum yang aman dan tenteram tetapi di Malaysia ini masih aman dan masih dapat dibangunkan sebab kita menggunakan pendekatan cara kita sendiri, kita tidak tiru cara orang lain, kita semua tahu apabila kita hadapi kegawatan ekonomi, ringgit kita dijatuhkan nilainya, dan ramai yang berkata kita harus berpinjam dan menyerah kepada IMF untuk mengatasi masalah kegawatan ekonomi. Semua negara di dunia ini sanggup ke IMF untuk meminta pertolongan, untuk meminta pinjaman dan tunjuk ajar bahkan menyerahkan negara mereka, untuk ditadbirkan oleh IMF tetapi kita hanya negara tunggal yang yang tidak pergi ke IMF, mencipta cara kita sendiri dan ramailah daripada mereka yang meramalkan akan runtuhlah ekonomi Malaysia, hari ini mereka terpaksa telan apa yang mereka kata kepada kita. Hari ini mereka mengaku bahawa cara Malaysia mungkin boleh berjaya, sebab itu kita harus mempunyai kepercayaan pada diri kita apabila kita menghadapi sesuatu masalah ataupun kita merancang membuat sesuatu dan kali ini kita ingin memperkenalkan bahasa Inggeris sebagai satu mata pelajaran dan juga kita ingin juga menggunakan bahasa Inggeris untuk mengajar Sains dan Matematik dan ilmu Hisab

Ada juga yang berkata kita perlu belajar bahasa-bahasa lain juga. Iye kita boleh belajar bahasa lain tetapi untuk mempelajari bahasa Perancis, Sepanyol dan Russia. Kita perlu kuasai bahasa Inggeris dulu kerana tidak ada buku untuk mengajar kita bahasa Russia yang ditulis dalam bahasa Melayu, jadi kita guna bahasa Inggeris sebagai satu jambatan untuk kita menyeberang ke arah yang lebih maju.

Kita ucap terima kasih kepada pihak-pihak yang sedia menderma wang untuk menambah jumlah pelajar Bumiputera di IPTS. Sebenarnya kerajaan sendiri sanggup mengadakan dana yang mencukupi, yang penting sebenarnya bukan jumlah wang tetapi jumlah calon yang ada, calon yang cukup layak untuk memasuki IPTS.

Saya harap anak-anak kita akan belajar dengan baik supaya mereka akan layak, melayakkan diri mereka untuk masuk IPTS dan jika mereka tidak mempunyai wang yang cukup, kerajaan sanggup memberi bantuan secara pinjaman ataupun secara langsung.

Memang benar kalau kita pergi ke IPTA, kita bayar yuran yang rendah tetapi sebenarnya itu adalah kerana kerajaan memberi subsidi yang amat besar. Kita membelanjakan wang banyak untuk setiap satu daripada universiti-universiti kita dan apa yang kita belanja untuk universiti adalah subsidi kepada penuntut-penuntut kita.

Biasanya, 90 peratus daripada kos mereka masuk ke universiti kerajaan, universiti awam ditanggung oleh kerajaan. Sebaliknya kerajaan tidak perlu tanggung kos universiti swasta. Mereka mengadakan universiti ini dengan belanja mereka sendiri dan dengan itu mereka terpaksa mengenakan bayaran yuran yang lebih tinggi.

Oleh kerana kerajaan tidak perlu membiayai kos universiti swasta, kalaupun anak kita pergi ke universiti swasta dan tidak mempunyai wang yang cukup untuk membayar yuran yang tinggi, kalau kita tambah supaya ia mencukupi pun, jumlahnya kurang daripada perbelanjaan subsidi kerajaan kepada universiti awam.

Sebab itu kita akan menentukan anak-anak kita yang mempunyai cukup kelayakan ke universiti swasta akan diberi sokongan wang yang mencukupi. Namun demikian, yang mampu bayar sedikit, bayarlah sedikit, janganlah bergantung 100 peratus kepada kerajaan. Macam juga bila kita pergi ke hospital. Kalau kita tak ada duit, kita pergi hospital kerajaanlah. Itupun kena bayar juga sikit. Yang ada duit pergilah ke universiti apa nama hospital private dan bayarlah sepenuhnya. Itu cara kita supaya yang mampu mesti membayar, yang tak mampu kita tolonglah seberapa yang boleh.

Berkenaan dengan desakan supaya pasti menguasai kerajaan dan dalam perkara ini desakan dibuat supaya agensi-agensi dan syarikat-syarikat kerajaan diisi dengan pengarah-pengarah dan eksekutif yang terdiri daripada profesional-profesional daripada parti.

Sebenarnya kita telah pun melantik mereka ke dalam beberapa daripada institusi dan syarikat-syarikat ini. Saya mempunyai senarai di sini tetapi tidak perlulah saya sebutkan tentang nama-nama mereka tetapi memang pun apabila terdapat ahli-ahli profesional dan juga ahli-ahli yang berkelayakan untuk menjadi pengurus ataupun pengarah, kita telah melantik mereka. Pada masa hadapan kita akan pilih lagi untuk mereka menduduki dalam badan kerajaan ini supaya mereka dapat menentukan tidak ada penyelewengan berlaku.

Saya ingin menegaskan bahawa kita tidak harus anggap mereka yang mungkin tidak jadi ahli Umno tidak bersimpati dengan Umno. Mereka yang mengurus badan-badan ini dan juga mereka yang berada dalam kerajaan, majoriti yang terbesar daripada mereka menyokong Umno. Tahun 1999 keadaan berbeza sedikit kerana orang yang semasa ia berada dalam kerajaan, bukan mempromosikan parti kita tetapi mempromosikan dirinya. Apabila dia sudah tidak ada maka kecewalah ramai daripada orang yang begitu memandang tinggi padanya dan mereka ternampak bersikap anti kerajaan dan anti-Umno. Ramai yang meminta supaya saya mengambil tindakan terhadap mereka, memindahkan mereka daripada jawatan ataupun dari tempat tertentu. Saya minta maaf sekali lagi kerana saya tidak berbuat demikian. Sebaliknya kita telah buktikan kebenaran kita dan juga kita buktikan bahawa kita ikhlas dalam perjuangan kita. Hari ini sikap pegawai dan kakitangan kerajaan sudah pun berubah dengan ketara. Dalam perhimpunan pada Hari Buruh, tanpa desakan daripada kita sama sekali, pihak Ceupacs dan ahli-ahlinya telah berikrar untuk menyokong kerajaan secara sukarela.

Saya tidak khuatir bahawa dalam pilihan raya yang akan datang, mereka akan kembali memberi sokongan, kerjasama dan akan menjayakan segala dasar-dasar kerajaan. Dalam menangani masalah seperti ini, janganlah kita terlalu gopoh untuk menuduh dan memarah orang seperti itu kerana mereka salah faham.

Yang perlu dibuat oleh kita ialah menentukan bahawa mereka faham apa sebenarnya yang berlaku. Insya-Allah, apabila mereka faham, pendirian mereka akan berubah dan mereka akan kembali memberi sokongan kepada kita. Kita harus ingat dalam pilihan raya, walaupun kita mempunyai jumlah ahli seramai 2.8 juta orang tetapi kalau calon-calon Umno hanya disokong oleh ahli-ahli Umno, di kebanyakan tempat kita tak boleh dapat kemenangan. Kita hanya boleh dapat kemenangan jika orang yang bukan jadi ahli Umno memberi undi mereka kepada kita dan mereka akan memberi undi mereka kepada kita kalau mereka anggap kita adalah sebuah parti yang mendirikan kerajaan yang bertimbang rasa, yang tidak menzalimi sesiapa.

Sebab itu kita harus jaga hati orang, bukan saja yang ada dalam parti kita tetapi yang berada di luar parti kita dan di antara orang yang terpenting ialah pegawai dan kakitangan kerajaan kerana merekalah yang akan melaksanakan segala dasar yang kita bentukkan.

Segala cadangan yang datang daripada mesyuarat-mesyuarat agung yang kita adakan ini tidak akan dapat dilaksanakan oleh menteri-menteri dari Kabinet mereka. Akhirnya pegawai dan kakitangan kerajaanlah yang akan melaksanakan apa yang diputuskan oleh kita.

Saya bersyukur kerana tidak ada tanda mereka ingkar dan tidak mahu melaksanakan dasar kita. Saya ucap terima kasih kepada pegawai dan kakitangan kerajaan kerana mereka mematuhi segala arahan dan dasar-dasar parti kita sebagai kerajaan.

Tetapi seperti biasa kalau Datuk Badaruddin kata ahli Majlis Tertinggi pun mungkin ada satu dua orang yang tidak patuh, tak hairanlah kalau dalam kerajaan, kita mempunyai satu juta kakitangan kerajaan dan pegawai kerajaan akan ada berpuluh ribu barangkali yang tidak bersimpati dengan kita. Tetapi majoriti yang terbesar, percayalah, bersimpati dengan kita.

Perbahasan dengan perkara agama dan perkara sosial ini amat menarik sekali terutama ucapan daripada apa nama jurucakap daripada Kedah dan dia memperingati kita bahawa Pas ditubuh di zaman British. Dan memang benar seperti kata Dr Hamid, British selalu tinggal time bomb. Apabila dia tinggal sesebuah negara, dia tinggal time bomb supaya apabila dia sudah pergi dan tidak memerintah lagi maka timbullah bermacam-macam masalah dan dapatlah mereka berkata, lihat apabila kami tidak memerintah, orang-orang ini tidak tahu bagaimana memerintah negara mereka. Selalunya mereka mempunyai banyak masalah dan pembangunan tidak dapat dilakukan.

Itulah time bomb cara British. Di India ada Kandiani, di Palestin ditubuhkan apa nama Israel dan di Kedah di Malaysia ini kita lihat Pas telah diluluskan oleh pihak British. Dan tentu British tahu bahawa sudah ada Umno yang menjadi jurucakap bagi orang Melayu, apa perlunya ada sebuah lagi parti yang begitu sempit pandangannya. Tetapi Pas telah diluluskan oleh pihak British dan hari ini kita lihat kesan daripadanya.

Merekalah yang memecahbelahkan orang-orang Melayu dan mengelirukan orang-orang Melayu sehingga akidah mereka juga sudah hilang dalam banyak perkara. Sebab itu kita lihat bagaimana penyokong-penyokong Pas tidak hairan dan terus menyokong pemimpin mereka walaupun pemimpin mereka menghinakan Tuhan yang mereka sembah. Kononnya, Tuhan itu samseng. Inilah Tuhan Pas. Orang samseng mana, saya tak tahulah.

Tapi Tuhan Pas adalah orang yang samseng, bukan Tuhan saya. Tuhan yang kita sembah ialah Yang Maha Penyayang, Yang Maha Pengasih, yang kita sebutkan tiap kali kita memulakan sesuatu kita kata Bismillahirrahmanirrahim, Yang Maha Penyayang, Yang Maha Pengasih. Ini Tuhan yang kita sembah.

Tetapi Tuhan yang Pas sembah, Bismillahi-samseng, hipenjahat, saya tak taulah bahasa Arab. Samseng wa penjahat. Inilah Tuhan yang Pas sembah. Sebab itu dia sesat. Sesat yang bukan-bukan la ni sampai dia nak apa nama nak dera orang yang jadi mangsa mesti dihukum. Orang yang kaki perogol apa semua mesti dilepas. Saya khuatir kalau undang-undang ini dilulus maka banyaklah kes rogol, sumbang mahram dan macam-macam lagi berlaku di Terengganu dan Kelantan kerana nak cari apa nama empat orang saksi ini tak boleh.

Dan kalau empat orang saksi ni dia duduk tengok saja situ buat apa. Takkan dia tak nak tolong. Dia tengok orang kena rogol, dia tengok. Ini can aku jadi saksi. Tengok gitu, ambil nota supaya dia kemudian dipanggil jadi saksi, ini nota ada. Saya tengok betul-betul ni dengan mata kepala saya. Empat orang tengok. Tapi kalau dia pula sembunyi diri dia, dia tengok saja diam-diam, orang tu tak tahu, itu mengintip pula. Salah juga. Mengintip pun tak boleh.

Jadi macam mana. Ini bukan salah ajaran Islam, tidak. Salah undang-undang Pas. Ini bukan hudud, ini undang-undang Pas, tak ada kena mengena dengan hudud sama sekali. Ciptaan ulama songsang.

Yang tahu cuma nampak bila dia kata yang itu, dia nampak pangkah, dia boleh dapat apa nama undi satu, nampak pangkah. Itu saja dia nampak. Itulah Tuhan dia. Dia nampak kertas undi. Dia tahu nak menang, nak jadi Yang Amat Berhormat, lepas itu boleh sesah semua kekayaan Terengganu apa semua.

Tuan-tuan dan puan-puan, saya telah tekankan tentang betapa pentingnya kita belajar berdiri atas kaki kita sendiri, berdiri tegak tanpa tongkat, tanpa apa-apa bantuan. Ini adalah dasar negara kita sebenarnya. Selama kita merdeka ini, kita telah elak daripada bergantung kepada sesiapa.

Kalau kita perhatikan, kebanyakan daripada negara-negara membangun yang lain, negara-negara yang mencapai kemerdekaan bersama dengan kita, kita dapati bahawa mereka selalu bergantung kepada bantuan, kepada aid, kepada hutang daripada luar negara.

Ada Club of Paris, ada Club of London, yang mana negara-negara maju ini akan berkumpul setiap tahun untuk menentukan banyak mana bantuan akan diberi kepada negara ini dan negara ini dan negara ini. Negara-negara yang baru merdeka, negara membangun yang semuanya miskin belaka.

Mereka menerima bantuan ini bukan tanpa syarat. Apabila mereka menerima bantuan banyaklah syarat yang dikenakan dan mereka dengan syarat ini hilang kebebasan mereka. Sebab itu hari ini, hanya kita saja yang bebas menyuarakan pendapat.

Apabila ada rundingan dalam World Trade Organisation umpamanya, mereka tidak berkata apa-apa, negara-negara yang membangun ini. Mereka tahu bahawa syarat-syarat yang dikenakan, tafsiran-tafsiran yang dibuat berkenaan dengan globalisasi akan merugikan mereka tetapi mereka senyap belaka.

Yang menghulurkan leher untuk ditetak ialah Malaysia. Kitalah jadi orang jahat yang selalu menentang, tidak bersetuju dengan itu, tidak bersetuju dengan ini. Lepas saja mesyuarat maka datanglah negara-negara kecil ini kepada kita dan mereka berkata, kami bersetuju, kami juga teringin nak kata tetapi kami tak boleh kerana kami hutang banyak, kami terima banyak bantuan, aid daripada negara-negara maju ini dan sebelum pun kami datang ke mesyuarat ini, mereka sudah menghantar orang-orang tertentu untuk memberi amaran kepada kami, kalau tidak menyokong cadangan ini, maka mereka akan hentikan bantuan, akan menuntut supaya segala hutang dibayar dengan segera. Bermakna bahawa mereka tidak punyai kebebasan.

Tetapi di Malaysia kita telah mentadbir kewangan kita supaya kita tidak berhutang daripada sesiapa. Sebenarnya kita tidak dapat apa-apa bantuan dari negara-negara maju. Kita berdiri atas kaki kita sendiri. Ya... kita hutang tapi kita hutang tak banyak kita hutang dari pasaran, hutang daripada bank. Setiap kali kita hutang berpuluh-puluh bank, menyumbang untuk bon-bon kita dengan itu mereka tidak boleh menguasai kita kerana mereka mempunyai kepentingan untuk mendapatkan bayaran hutang mereka.

Kita pinjam juga daripada Jepun tetapi hutang daripada Jepun ni istimewa kerana faedahnya begitu rendah sehingga jika kita tak hutang kita rugi, orang bodohlah faedahnya 0.7 peratus bayaran 40 tahun. Tak apalah kita hutang orang 40 tahun lagi nak bayar bukan kita. Inilah cara kita kita takan hutang daripada sesiapa supaya kita tidak terikat dengan mereka dan dasar mereka. Kita nak bebas dan merdeka secara benar merdeka bukan macam setengah-tengah orang cuma merdeka daripada nama saja tetapi sebenarnya mereka tidak merdeka. Kita tahu tekanan-tekanan yang dikenakan oleh IMF umpamanya jika kita hutang daripada mereka.

Kita perlu mendapat hutang ataupun bantuan daripada mereka maka pembangunan negara kita dibangunkan dengan cara yang tidak berkesan. Alhamdullilah sejak kita merdeka kita dapat bangunkan negara kita dengan pesat sehingga kita dapat menyimpan rezab kita yang cukup untuk membiayai lima setengah bulan kalau kita tidak cukup duit.

Urusan kewangan kita diuruskan dengan bijak dan baik supaya kita tidak terlalu boros berbelanja dan terpaksa selalu berhutang. Ya, kita ada keluarkan bon tetapi itu bukan kerana kita perlu kepada wang tetapi kita nak tahu kita punya standard kita diterima taraf mana. Apa kita punya kredit sebab itu kita keluarkan bon. Wang kita banyak dalam negara kita kini. EPF , KWSP kita kita kutip tiap-tiap bulan lebih daripada RM 1 billon tiap-tiap tahun lebih RM 12 bilion dana kita kutip RM112 bilion inilah adalah wang dalam negara yang boleh pinjam jika kita perlu. Selain daripada EPF kita ada kita tabung-tabung lain, termasuk Tabung Haji, Sokso dan lain-lain lagi. Kita menjadi negara yang mempunyai tabungan yang terbesar sekali dalam dunia 38 peratus, jumlahnya adalah 38 peratus daripada KDNK kita.

Tak ada negara dalam dunia, dulu Jepun tapi sekarang Jepun sudah jatuh tetapi bank kita ada tabungan yang tinggi dan kita tak perlu hutang daripada negara-negara asing terutama daripada kerajaan-kerajaan yang akan menyukarkan kita dengan dasar-dasar mereka. Tabungan ini amat penting kerana ia memberikan wang cukup supaya kita tidak perlu bergantung kepada pada sesiapa dengan itu kemerdekaan dan kebebasan kita terselamat.

Ini adalah dasar negara kita dan juga ini jadi dasar tiap-tiap warga kita. Tiap-tiap seorang daripada kita mestilah berusaha supaya tidak hutang terlampau banyak. Kalau kita belanja lebih tentu kita nak hutang kadang-kadang kita terpaksalah. Kalau anak kita ke universiti kadang-kadang kita boleh dapat biasiswa kadang-kadang tidak. Tapi seberapa boleh kita jangan hutang. Seronok sangat nak hutang ni kerana ada orang berpendapat kalau duit kita hutang kalau rugi tak patah bayar terutama kalau hutang Mara. Saya tahu satu orang yang kata kepada saya. Saya tulis dalam buku saya, Panduan Kepada Peniaga Kecil. Siapa pernah baca angkat tangan. Semua tak pernah baca? Dalam buku panduan peniaga kecil ini saya bercerita berkenaan satu orang, satu orang kampung dia berhajat beli kedai runcit mamak dalam kampung itu. Saya tanya dia, tanya ada duit ke ? Dia kata duit adalah sikit tapi saya tak mahulah belanja lagi sayang . Dia nak beli dengan duit hutang sebab kalau rugi itu bank punya tak payah bayar, kalau duit dia habislah.

Ini orang yang bijak tapi kita tahu ada orang yang tak bijak, ini cerita orang nak beli komputer. Semua org dah tahu? Tak payah ceritalah kut....saya tak faham langsung, ini duit dia sendiri dalam EPF, bukan duit orang lain yang dia boleh terima bila dia berhenti kerja bila dah tua. Akan dapat keluarkan duit EPF sara hidup lepas berhenti kerja . Tetapi dia cukup pandai untuk keluarkan duit ini. Kerajaan kata kalau nak beli komputer boleh pinjam duit EPF. Dia pun nak pinjam. Dia sanggup keluarkan RM3000 dari EPF. Dengan duit itu bukan beli komputer dia beli resit komputer. Dia bayar resit RM 2,000 dan RM1,000 saja untuk dia. RM2,000 dia bayar kepada orang bekal komputer kepada dia. Resit kata dia sudah terima sebuah komputer harga RM3,000. Esok dah bersara, esok tak de kerja, duit tak de kerana dah belanja dulu. Ini kebijaksanaan sesetengah orang yang saya tak faham la.

Saya ini terkenal sebagai seorang yang cukup kedekut daripada kecil lagi. Saya dididik supaya, orang putih kata ‘neither a lender nor the borrower’ saya tak bagi pinjam kat orang saya tak de pinjam daripada orang sampai sekarang. Saya tak ada hutang. Hutang dengan kerajaan adalah, buat rumah tapi boleh bayar... daripada bank saya tak ada hutang dengan sesiapa pun saya tak hutang. Ada orang minta hutang daripada saya RM2,000 saya bagi dia RM 200 kira bukan hutanglah kira you punyalah. Kalau nak berkelahi dengan mudah sekali bagi hutang .. bila bagi hutang dia tak bayar esok nampak kita hujung jalan sana, dia pun pusing jalan sini. Hilang satu kawan sebab itu kalau nak tanya saya punya pendapat kita jangan terlalu mudah berhutang kalau hutang jagalah supaya kita dapat bayar balik.

Di Malaysia ini dan saya sebutkan di sini kita selalu buat pendekatan berbeza dengan orang lain. Banyak di Malaysia kita tak buat ikut orang lain. sejak merdeka semasa kita perjuangkan kemerdekaan kita bertindak cara lain. Orang buat pemberontakan kita cari jalan rundingan dan kerjasama antara kaum sehingga akhirnya mencapai merdeka secara aman dan tenteram . Kita lawan Malayan Union. Kita tidak memberontak kita tidak ada pasukan gerila kita hanya satu padukan Melayu melalui Umno dan cara ini tentukan pihak British tidak melaksanakan Malayan Union kerana dibantah Orang Melayu. Ini cara kita. Kita juga telah melawan dengan pengganas komunis dan kita bukan saja guna tentera tapi tawan hati dan fikiran mereka yang menyokong komunis. iaitu tawan hati dan mind of the people. Dengan cara itu dapat menewaskan komunis. Kita ada bermacam kemudahan bagi kaum yang berasa diri mereka tersisih dan dengan itu mereka bagi sokongan kepada kita. Dalam politik pula kita sebagai sebuah negara berbilang kaum kita tidak cuba merebut untuk kaum kita saja. Kita bekerjasama dengan kaum lain, tak apalah dapat sebahagian daripada kek daripada dapat seratus peratus daripada kek yang semakin lama semakin tipis . Inilah falsafah kita yang telah menghasilkan banyak kemajuan kepada kita.

Dalam bidang ekonomi kita tidak memiliknegarakan apa yang dimiliki orang asing sebaliknya selepas mencapai kemerdekaan kita sama-sama bangunkan negara melalui pelaburan mereka dalam industri-industri kita . Dengan itu kita dapat ubah negara kita daripada negara pertanian kepada negara perindustrian tanpa apa masalah.

Dalam rusuhan kaum tahun 1969 ramai yang meramalkan itu adalah tamatlah negara Malaysia kerana kaum-kaum tidak dapat hidup bersama sebaliknya kita telah wujudkan wujudkan dasar ekonomi baru untuk mengagihkan kekayaan negara lebih saksama dengan itu apabila berlaku kegawatan ekonomi sementara negara lain rusuhan kaum berlaku, di Malaysia tidak ada rusuhan kaum berlaku.

Demikian juga dasar luar negara kita tidak menyokong negara kuat saja sebaliknya kita memberi keutamaan kepada ASEAN yang pertama, negara Islam kedua dan negara-negara berkecuali ketiga dan negara Komanwel keempat dan lepas itu barulah kita adakan hubungan dengan negara lain. Kita juga menolak semua ideologi sebaliknya kita memilih apa yang baik daripada semua ideologi dan laksanakan dengan baik. Sebab itu gunakan cara komunis apabila kita jalankan pembangunan, rancangan pembangunan lima tahun. Kita tidak tolak kapitalis kerana kita percaya modal juga perlu untuk membangunkan negara. Dan kita tidak tolak sosialisme yang menekankan kepada keadilan kepada masyarakat tetapi tidak keseluruhannya. Kita juga negara terawal sekali yang melaksanakan penswastaan. Walaupun banyak kritikan dilemparkan berkenaan penswastaan. Kalau tidak ada penswastaan kita tidak akan dapat lihat lebuh raya Utara-Selatan dan lain-lain lebuh raya di negara ini.

Inilah negara kita yang kita urus dengan cara kita sendiri tidak tiru sesiapa atau mana pihak ataupun terikat pada satu-satu ideologi hingga tak dapat bergerak. Apa yang kita lakukan ikut keupayaan kita, pragmatisme tetapi tidak mengikat diri sehingga benda tak baik pun kita terpaksa lakukan kerana itu prinsip ideologi berkenaan.

Tuan-tuan dan puan-puan, pengerusi tetap, ahli-ahli Majlis Tertinggi, para perwakilan dan saudara-saudari. Di sini saya ingin mengambil kesempatan untuk mengumumkan (PM berhenti sekejap meneguk air sebelum meneruskan ucapan) peletakan jawatan saya sebagai Presiden Umno .....(dalam nada sebak).... dan semua jawatan yang dipegang saya dalam parti , Pengerusi Barisan Nasional dan semua jawatan dalam Barisan Nasional.

(Dewan hingar bingar sehinggalah TPM membuat pengumuman meminta PM menimbangkan kembali keputusannya. Ketika itu ahli MT mula mengerumuni PM dan memujuknya menimbangkan semula keputusannya. PM kelihatan mengeleng-gelengkan kepala dengan nada sebak dan berkata I have decided.... lama dah...)